Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pemilik Vila Suria Kali Keempat telah berlangsung dengan jayanya pada Ahad lepas, seperti dijadualkan. Kehadiran yang tercatat dalam daftar ialah seramai enam puluh orang, meningkat lima puluh peratus berbanding tahun lepas. Ini menandakan sokongan yang semakin mantap dan keprihatinan yang meningkat dari warga Vila Suria. Syabas!
Isu paling hebat diperbahaskan adalah kawalan keselamatan dan yuran ahli. Walaupun hangat, namun hadirin menunjukkan kematangan masing-masing dengan hujah dan keterangan yang meyakinkan. Akhirnya, kata sepakat dicapai, persatuan akan terus menguruskan Penyelia Taman dengan menyediakan latihan untuk mereka, agar lebih berketerampilan dan kompeten.
Seperti dijangka, isu kucing pasti timbul. Pelbagai aduan ditimbulkan seperti kucing yang menyelongkar sampah, berlari di atas siling rumah dan membuang najis di halaman rumah. Ada pihak menganggapnya perkara remeh dan tidak perlu diperbesarkan. Namun tidak kurang pula yang menganggapnya boleh memporak perandakan keharmonian di Vila Suria. Akhirnya, mesyuarat memutuskan agar setiap pemilik kucing mengambil berat terhadap kucing peliharaan masing-masing. Manakala tuan rumah yang dikunjungi kucing, perlulah bertolak ansur bagi mengelakkan suasana keruh.
Mesyuarat juga memutuskan untuk mengekalkan semua AJK lama dengan ditambah masuk beberapa muka baru untuk menambah kekuatan sedia ada. Manakala Pn. Aishawati memohon untuk mengundur diri dari jawatan setiausaha yang disandangnya lantaran ada komitmen lain yang perlu diberi tumpuan.
Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan keberkesanan perhubungan, seorang wakil telah dilantik untuk mewakili lorong masing-masing. Mereka akan membantu persatuan seperti urusan menyampaikan maklumat, mengutip yuran dan sebagainya. Paling membanggakan, semua wakil lorong memberi nama secara sukarela atau menerima perlantikan dengan hati yang terbuka.
Antara usul yang dipersetujui ialah setiap keluarga muslim dimohon menyumbang minima RM100 untuk meluaskan wakaf sedia ada dan membina bilik air serta tempat wuduk wanita, sebagai persiapan Ramadhan akan datang. Selepas mesyuarat, seramai sembilan orang telah mendahului warga Vila Suria dengan membuat sumbangan awal.
Semoga ketelusan dan keakraban terus subur, merentas segenap lapisan warga Vila Suria.