Untuk mencapai tahap persaudaraan yang hakiki, seorang Muslim itu perlu melaksanakan beberapa tahap atau langkah, iaitu tahap ta’aruf (saling mengenal), ta’aluf (saling bersatu), tafahum (saling memahami), ri’ayah (perhatian), ta’awun (saling membantu) dan tanashur (saling menolong) barulah terhasilnya ukhuwah (Abdul Halim Mahmud, 2000:31) dan perpaduan yang benar-benar jitu.
1. Ta’aruf bererti saling kenal mengenal di antara satu sama lain. Tidak termasuk makna ta’aruf dalam konteks membangga diri dengan keturunan, pangkat dan hartanya kerana ia bukanlah ukuran yang tepat untuk mengenal manusia. Ukuran yang benar mengenal manusia adalah berasaskan kepada amal salih dan ketakwaan kepada Allah. Ta’aruf merupakan langkah pertama dalam menuju terjalinnya persaudaraan dan perpaduan kerana ia merupakan kunci pembuka hati, penjinak dan penarik simpati (Abdul Halim Mahmud, 2003:31-32). Ta’aruf tidak terbatas kepada mengenali seseorang dari segi namanya tetapi melangkaui lebih dari itu seperti mengetahui latar belakang kehidupannya, keluarga, keturunan, pendidikan, hobi, budaya, adat dan sebagainya.
2. Langkah kedua untuk mencapai perpaduan ialah ta’aluf. Ia bererti bersatunya seorang Muslim dengan Muslim yang lain. Keadaan ini dapat dilakukan melalui kecintaan seorang Muslim ke atas saudaranya kerana Allah, bersifat lapang dada, mempunyai keikhlasan dan taat kepada Allah dan RasulNya. Sifat ini dapat dibentuk melalui aktiviti secara kolektif atau berjemaah, bermesyuarat dan sebagainya.
3. Langkah ketiga ialah al-tafahum, iaitu saling memahami sehingga timbul keinginan untuk bermuafakat antara satu sama lain, sama ada antara sesama Muslim atau dengan golongan non-Muslim. Tujuan al-tafahum ialah untuk menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kebencian, permusuhan dan pepecahan yang boleh menghilangkan kekuatan ummah. Sifat tersebut dapat dibentuk melalui berbagai aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong, sukan, aktiviti Rukun Tertangga, ziarah menziarahi, tegur menegur dan sebagainya.
4. Langkah keempat ialah ri’ayah, iaitu seorang Muslim yang memperhatikan keadaan saudaranya agar ia segera memberikan pertolongan sebelum saudaranya itu meminta. Di antara bentuk perhatian yang perlu diberikan ialah menghilangkan kesusahan atau penderitaan yang dihadapi oleh saudaranya, memenuhi keperluan dan menutup keaiban saudaranya. Sifat ri’ayah ini bukan hanya terbatas kepada sesama Muslim tetapi meliputi non-Muslim di atas dasar kemanusiaan. Umpamanya, segera memberikan bantuan kepada orang lain jika berlaku malapetaka atau musibah seperti gempa bumi, banjir, kemiskinan dan sebagainya.
5. Langkah kelima ialah ta’awun yang bererti saling membantu. Allah memerintah hamba-hambaNya yang beriman agar saling bantu membantu dalam perkara kebajikan atau al-birr dan meninggalkan kemungkaran atau at-taqwa. Menurut Abdul Halim Mahmud (2003:38), al-birr meliputi perkara yang wajib dan sunat, manakala at-taqwa bererti menjaga kewajiban. Allah melarang orang yang beriman untuk saling bantu membantu dalam perkara kebatilan atau kemaksiatan. Bentuk pertolongan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk harta benda, tenaga, masa tetapi termasuk buah fikiran atau pendapat yang bernas.
6. Langkah keenam ialah tanasur yang sama erti dengan ta’awun tetapi mengandungi pengertian yang lebih dalam, luas dan lebih menggambarkan makna cinta dan kesetiaan. Termasuk dalam makna tanasur ialah seseorang yang tidak menjerumuskan saudaranya kepada sesuatu yang dibenci dan yang membahayakan, menjauhkan saudaranya dari syaitan yang membisikan kejahatan, menolong orang lain menghadapi orang yang menghalanginya dari jalan kebenaran dan menolong pada masa ia menzalimi atau dizalimi. Menolong pada masa ia menzalimi ialah dengan mencegahnya dari perbuatan zalim, sedangkan menolongnya pada saat ia dizalimi adalah dengan berusaha menghindarkannya dari kezaliman yang menimpanya (Abdul Halim Mahmud, 2003:40).
perpaduan amende,kalau sesame jiran pon bukan nak bertegur.menganjing ade lah.
ReplyDeletepuihhh~